Sabtu, 21 September 2019

Derita Mat Lela Gila Akan Rindunya Bulat





Derita Mat Lela Gila Akan Rindunya Bulat




Agak lama juga aku tidak menulis. Media sosial Facebook ‘timeline’pula kerap juga keluar mengenai telefilem yang bertajuk ‘Insan terpilih’ pada mulanya aku tidak aku memang tidak berminat telefilem. Namun ada seorang rakan menulis akan perihal watak firdaus dilakon oleh Syazwan Zulkifli mengingatkan dia akan naskah yang di karang oleh Pak Sako yang berjudul ‘Anak Mat Lela Gila’.

Sebagai seorang yang pernah membaca novel Pak Sako, apabila terbaca akan tulisan kawan seorang kawan yang satu ketika dahulu kami pernah berbual akan perihal novel tersebut ia menarik minat aku untuk menonton telefilem tersebut.

Pada pandangan peribadi aku telefilem ‘Insan Terpilih’ pembinaan wataknya tidak boleh disamakan dengan watak Mat Lela Gila. Aku tidak ada masalah dengan pelakon-pelakon yang membawa watak-watak dalam telefilem itu. Jika hendak dibandingkan dengan watak Mat Lela Gila ia sangat jauh. Mat Lela mati dengan penuh penderitaan. Dia derita rindu akan anak angkatnya yang bernama Bulat. Kematian Mat Lela tidak boleh dibandingkan dengan watak firdaus yang mati dalam keadaan bertasbih penuh dengan ketenangan.

Menurut beberapa tulisan telefilem ini berdasarkan kisah benar yang di kongsikan oleh jemaah sebuah surau di klang, Selangor. Mungkin akan ada pendapat yang akan mengatakan tidak wajar untuk aku bandingkan telefilem ini dengan novel Pak Sako. Pada pandangan aku sebagai seorang penonton kita harus meletakkan tangga ukur dalam penghayatan tonton. Mungkin juga akan ada percanggahan pendapat akan perihal ini.

Oleh kerana aku telah meletakan tangga ukur aku sebelum menonton telefilem ini pada yang bertajuk sebuah novel ‘Anak Mat Lela Gila’ maka aku melihat perjalanan narasi atau cerita telefilem ini di isi dengan kelewahan. Dengan lambakan dan kekesalan yang dibuat-buat, rasa kekesalan, yang berlaku pada masyarakat adalah terlalu drastik/pantas ini adalah sesuatu yang kurang menarik bagi aku. Sepatutnya watak Firdaus boleh dikembangkan lagi dengan baik. Ia tidak harus berputar dengan kisah disurau, dan kekesalan masyarakat yang menghina Firdaus. Pada aku ini adalah satu kerugian yang besar. Begitu juga dengan watak Leman. Dalam perkenalan yang singkat sepatutnya harus ada sesuatu kejadian yang memberi impak besar dalam peralihan watak Leman.

Secara peribadi aku mengatakan telefilem ini terlalu lewah. Ia mungkin terkesan pada individu yang mengangkat telefilem ini sebagai sebuah penyampaian dakwah. Apa yang aku maksudkan dengan lewah adalah pengisinya dimana ia terlalu memuji perilaku Firdaus yang dikatakan mulia meskipun kurang sempurna. Dialog-dialog ini terlalu banyak mengulangannya. Aku faham mengapa pengulangan itu sengaja dilakukan ia kerana untuk mengangkat watak atau sifat mulia Firdaus itu sendiri. Cerita ini akan jadi lebih menarik jika tiada satu pujian pun dilemparkan pada firdaus di kuatkan lagi sekiranya penduduk kampung terus membencinya. Aku rasa jalan cerita yang sebegini lagi menarik. Ini Cuma pandangan peribadi akulah. Kau orang punya pandangan kau orang punya pasal lah.

Lagi pun aku dah lama tak tulis panjang macam ini. Hahahahahahahahahahaha

Selasa, 9 Ogos 2016

Hanya Bangsa yang Dapat Menghargai Pahlawan-pahlawannya yang Dapat Menjadi Bangsa Besar




“Hanya Bangsa yang Dapat Menghargai Pahlawan-pahlawannya yang Dapat Menjadi Bangsa Besar”

 - SOEKARNO –

Pertama kali menjejakkan kaki ke Jakarta, saya begitu tertarik dengan mercu tanda negara ini. Tugu Tani yang berdiri megah di daerah Gambir, ia sepertinya memberi sentuhan semangat untuk lebih menghargai jasa-jasa para pejuang yang telah memerdekakan negara. Tambah pula dengan kata-kata presiden pertama Indonesia yang begitu mendalam maknanya buat menaikkan semangat mereka yang melihat untuk mencintai tanah air dan bangsanya.


Perjalanan saya di Jakarta tidak panjang cuma dua hari sahaja, jadi dalam kembara yang singkat itu saya lebih banyak melihat masyarakat di jalanan. Dalam erti kata lain melihat latar sosial masyarakat di sana. Dalam kehidupan yang penuh persaingan dan edan ini, masyarakat di sana berusaha gigih untuk mendapatkan mata pencarian, mereka sentiasa kreatif menjana idea untuk mendapatkan pendapatan seharian melalui persaingan sihat.



Penjual kopi di jalanan mengingatkan saya akan masyarakat miskin kota dan kaum gelandangan di Kuala Lumpur ketika saya menyelami kegigihan mereka mencari rezeki demi kelangsungan hidup. Apa yang mereka praktikkan di sini sangat efektif dan jauh dari sikap meminta-minta. Berbeza dengan situasi yang kita boleh lihat di Kuala lumpur, dimana terdapat adegan memberi yang keterlaluan sehingga menjadi satu jenis penyakit kemalasan untuk bekerja pada diri mereka. Akhirnya mereka tidak dapat berdaya saing dan hanya mengeluh kerana tiada peluang pekerjaan akibat dirampas oleh buruh asing. Kesan dari menerima bantuan membuatkan daya nalar mereka menjadi lemah tidak kreatif dan produktif untuk menjana pendapatan kerana mereka terlalu bergantung pada sumber bantuan yang terlalu melimpah ruah. Mungkin aktivis di Malaysia kita boleh mengambil hal ini sebagai model dan menyusun semula bersesuaian dengan landas latar sosial di Malaysia.


Catatan kembara ini bukanlah satu catatan yang memperkenalkan kepada pembaca untuk melihat tempat-tempat menarik yang boleh kita kunjungi di Jakarta. Pada saya tulisan seperti itu telah ramai di tulis oleh mereka yang lebih dulu dari saya menjejakkan kaki di sini (Jakarta). Oleh itu catatan kembara ini lebih melihat latar sosial tempat yang saya kunjungi.


Pada hari kedua, saya ke Pasar Senen bersarapan di gerai yang terdapat di persisiran jalan, pada ketika itu terdapat beberapa kaum pekerja (poletariat) turut bersarapan di situ. Pada ketika ini penglihatan saya begitu tertarik dengan tabung gas 3kg. Pada badan tabung gas itu tertera perkataan “HANYA UNTUK MASYARAKAT MISKIN” di Malaysia tentulah kita tidak dapat melihat produk seperti ini, melalui inisiatif sebegini golongan yang kurang berkemampuan dapat memperolehi keperluan dengan kos yang lebih murah. Pada pengamatan saya, rata-rata peniaga yang menjual makanan mengunakan tabung gas 3kg tersebut untuk memasak.



Dalam perjalanan dari Senen ke Gambir menaiki bas, saya dihiburkan dengan seniman jalanan (pengamin) kebiasaanya di Malaysia seniman jalanan atau gelar biasa kita panggil ialah busker yang hanya bermain di kaki lima, tetapi di Indonesia agak berbeza sedikit gerakan seniman jalanannya selain bermain muzik di kaki lima, ia juga mempesembahkan bakatnya di dalam pengakutan iaitu bas. Mereka bermain dengan penuh ekspresi, dan lantunan karyasebegini pada pandangan saya yang dangkal ia adalah lebih baik dari persembahan pemuzik arus perdana yang sering kita dengar.


walaupun perjalanan saya ke Jakarta singkat dan tidak banyak tempat saya lawati, namun ia masih memberi kepuasan kepada saya sebagai pemerhati sosial,  dan banyak perkara yang saya peroleh dan pelajari ini memberi inspirasi kepada  saya dalam melakukan kerja-kerja berkaitan sosial masyarakat.

 -Merisik Rindu-




Selasa, 23 Februari 2016

Cendiakawan Perubatan Islam : Ibnu Sina


Ibnu Sina dilahirkan pada 980M atau 370H merupakan seorang doktor Islam yang terulung. Sumbangannya dalam bidang perubatan bukan sahaja diperakui oleh dunia Islam, malah oleh sarjana Barat. Nama sebenar Ibnu Sina ialah Abu Ali  Al-Hussain Ibnu Abdallah Ibn Sina dan di Barat di kenali sebagai Avicenna.

 Ibnu Sina mula menjadi terkenal semasa berusia 17 tahun apabila Berjaya menyembuhkan penyakit Raja Bukhara  iaitu Nooh Ibn Mnasoor yang gagal diubati oleh para doktor lain. Apabila Raja Bukhara ingin mengurniakan harta dan kebesaran, beliau menolak sebaliknya meminta keizinan untuk menggunakan perpustakaan Istana yang sangat lengkap dan unik pada ketika itu. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolak bandingnya sehingga di dunia Islam, beliau di gelar sebagai al-Syekh Al-Rais (Mahaguru Pertama).

Ibnu Sina Menguasai pelbagai ilmu pengetahuan selain daripada Ilmu perubatan seperti  geometri, logik, matematik, sains, fiqh dan falsafah tetapi di barat beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan. Buku dan pemikirannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya yang bertajuk Al Qanun Fil Tabib (undang-undang Perubatan)   telah diterbitkan 500 tahun selepas penerbitan pertamanya di Rom, iaitu 1593, seterusnya diterjemah ke dalam bahasa inggeris dengan judul Precepts of Medicine (peraturan Perubatan).

Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun  selepas itu, buku itu dicetak ke dalam 15 jenis bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai  bahan rujukan asas oleh para pelajar perubatan di university  Itali dan perancis sehingga abad ke-19.

Ibnu Sina Juga menghasilkan sebuah buku yang diberi judul  Remedies for the Heart ( Penawar Untuk Hati) yang menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit serta cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja malah merangkumi bidang dan ilmu lain seperti  metafizik, muzik, astronomi, philology (ilmu bahasa) syair, prosa, dan agama.

 Pemikiran  falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran Falsafah Al-Farabi yang telah menghidupkan semula pemikiran Aristotle tetapi menapis teori kosmologi Yunani ini dan mengislamkannya. Al-Farabi, iaitu Abu  Nasr Mohammad Ibnu  al-Farakh al-Farabi (870-950) merupakan cendekiawan parsi di Zaman pemerintahan Abassiyah. beliau seorang ahli falsafah, muzik, perubatan dan matematik telah menghasilkan sekurang-kurangnya 117 buah buku berkaitan bidang ini. oleh itu, falsafah perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.

Selasa, 9 Februari 2016

Islam Meraikan Seni – Bhg 2

Dunia Seni amat indah dan sensetif.  Ia disukai, dicemburui malah sering dieksploitasi sehingga menjerumuskan seseorang seniman ke jurang maksiat. Hakikatnya, seni  itu bersifat murni dan amat bermanfaat untuk untuk membangunkan hati nurani manusia  dan kehidupan muslim. Dewasa ini seni dilihat dari segi perfektif negatif berdasarkan situasi semasa yang berlaku dalam dunia muzik dan hiburan. Perkembangan seni muzik dan hiburan masa kini sama ada di barat atau di negara Islam sendiri di lihat banyak yang memesongkan akidah dan pemikiran masyarakat, namun begitu bukanlah semua karya seni hiburan dan muzik bersifat demikian ada juga yang meletakan elemen-elemen kesedaran dan nilai murni dalam lirik lagu walaupun beraromakan muzik rock.

Realitinya, masyarakat Islam kini dihujani dengan pelbagi ancaman budaya yang berbentuk hiburan yang mencetekkan pemikiran seperti drama-drama cinta dan alunan rentak muzik yang kurang baik nilai liriknya.
Kesenian ‘sumbang’ ini disalurkan melalui pelbagai sumber dan wahana yang kini menjadi pilihan untuk berhibur. Seperti yang dapat kita lihat hari ini terlalu banyak program-program realiti yang kurang memberi manfaat kepada penonton melainkan hiburan semata-mata. Nilai hiburan yang baik adalah memberi kesan kepada jiwa manusia dengan menanamkan nilai pengajaran yang tinggi apabila seseorang itu menghayati sesuatu muzik atau pun menonton filem.

Seni muzik seringkali dikatakan sebagai sesuatu wadah yang melalaikan, membuang masa dan mendorang manusia kepada kemungkaran. Adakah begitu? Dalam hal ini seseorang pengkarya itu haruslah bijak dalam meletakkan unsur-unsur harmoni dengan menerapkan elemen ketenangan, kedamaian, ketakwaan dan keimanan serta menjaga batas-batas dan larangan dalam hukum agama.  Seorang seniman yang baik sesungguhkan akan menjaga elemen ini kerani seni adalah sebagian wadah dalam penyebaran dakwah kepada masyarakat.

Menyusur kepada kehidupan Rasulullah SAW, membuktikan bahawa baginda tidak melarang nyanyian yang tidak membawa kepada kemaksiatan. Nyanyian yang sangat popular di kalangan umat Islam ialah berzanji dan marhaban yang memuji Rasulullah SAW, nyanyian yang sarat dengan nilai-nilai agama.

Sementara itu, Imam Ahmad telah meriwayatkan, bahawa dua wanita mendendangkan lagu yang isinya mengenang para pahlawan yang telah gugur dalam peperangan Badar sambil menabuh gendang.

Berbeza pula dengan pendapat Para Ulama mengenai hukum muzik dalam Islam samada ia dibolehkan atau dilarang. Sebahagian ulama mengharamkan mendengar muzik atau memainkannya secara umum. Manaka sebahagian lagi membolehkan selama muzik itu mengandungi nasihat yang tidak bertentangan dengan Islam. Beberapa Ulama seperti Imam Az-Zahiri, Imam Asy-Syafie, Imam Malik dan Al-Ghazali membolehkan penggunaan alat muzik dan nyanyian selagi liriknya tidak terdapat ungkapan yang tidak baik dan boleh menimbulkan fitnah. Di samping itu terdapat juga beberapa hadis Nabi SAW tentang hal ini dan di perkuatkan dengan dalil pada surah  Luqman ayat 19 yang bemaksud :

“ Dan serdahanalah kamu dalam berjalan, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai”

Mengulas tentang ayat itu, Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa Allah memuji suara yang baik sehingga tidak dilarang mendengarkan nyanyian yang baik.

Muzik yang harus adalah muzik yang berilmu – membawa kepada pemurnian hati sanubari insan. Muzik yang bersifat kejahilan – merangsang kegelisahan dan kecetekan hati hati nurani insan yang boleh membawa kepada kekaburan  kemuliaan insan adalah dilarang. Seni kata juga sewajarnya membawa mesej kea rah akhlak mulia dan tidak melanggar batasan akidah Islam. Lagu-lagu cinta yang memuja perasaan cinta berlebih-lebihan misalnya dan terkandung kesesatan nafsu adalah haram. Sebaliknya, lagu-lagu sedemikian boleh menjadi kebaikan sekiranya senikata lagu menjurus ke arah pujian terhadap wanita yang baik akhlaknya dan beragama serta mulia. Namun begitu, pujian atau  sanjungan itu bukan ditujukan kepada wanita tetapi kepada nilai-nilai agama yang mulia  yang terpapar pada wanita tersebut. 

-THiJARI-

Keteguhan Iman Berlantaikan Amanah




Dalam kehidupan manusia tidak akan lari daripada kitaran amanah yang dipertanggungjawabkan. Perkerjaan, kekuasaan, pengetahuan, pangkat, anak dan bumi kita berpijak merupakan sebahagian daripada jalur hidup yang berteraskan amanah. Amanah yang harus kita tunaikan dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya. Hukum menunaikan amanah adalah wajib dan mengkhianatnya adalah haram.

Sesungguhnya amanah merupakan tiang  dan dasar bagi setiap amal baik dalam  setiap urusan di antara kita dan Allah SWT,  antara kita dan keluarga atau masyarakat. Hanya orang yang teguh imannya kepada Allah akan menjaga amanah.

Dalam kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, jilid 3 halaman 154, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Tiadalah iman itu sempurna bagi orang yang sama sekali tidak ada kepercayaan baginya. Dan tiada agama itu sempurna bagi orang yang sama sekali tidak menepati janjinya”

Masyarakat yang diselubungi dengan amalan rasuah dan nepotisme adalah yang tidak mahu mempedulikan amanah. Banyak pengkhianatan dan penipuan, rasuah sudah bermaharajarela di tengah-tengah masyarakat; tidak sedikit kesaksian pembohongan dilakukan oleh sesetengah pihak dan tidak sedikit pula orang menunda-nunda menyampaikan hak kepada yang sepatutnya. Semua ini adalah menyimpang daripada amanah, bahkan termasuk juga khianat.

Demikian juga hari ini dalam memilih pemimpin atau ketua agak sulit memilih yang terbaik. Rasulullah SAW memberi erti amanah dalam kepemimpinan adalah kemampuan atau keahlian dalam jawatan yang dipangku, bukan ukuran kekayaan semata-mata.

Kita boleh menetapkan pertimbangan dalam memilih pemimpin tetapi ingatlah selalu sabda nabi SAW yang bermaksud :

“Siapa yang mengangkat seseorang untuk jabatan yang berkitan dengan urusan masyarakat sedangkan dia mengetahui ada yang lebih, maka seseugguhnya ia telah mengkhianati Allah, Rasul dan kaum Muslim”

Semua berkaitan dengan kuasa. Kerana itu kekuasaan adalah amanah yang lebih penting untuk diawasi kerana kekuasaan itu cenderung untuk curang. Kekuasaan yang mutlak akan menjadi curang yang mutlak.

Maka dalam agama kita tidak diizinkan adanya kekuasaan yang mutlak. Seperti firman Allah kepada Musa AS yang bermaksud :

“Pergilah Musa Kepada Firaun itu, sesungguhnya ia telah melampaui batas.” Surah TAHA: 24

Maka Kekuasaan tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan. Pengawasan itu dilakukan oleh masyarakat. Semua ini terletak dalam rangka penegakan keadilan.

Dalam Al-Quran di ingatkan bahawa salah satu bentuk menyalahguna kuasa ialah melindungi tindakan-tindakan yang salah. Wujud penyalahgunaan kuasa tidak saja berupa tindakan salah daripada seorang penguasa secara langsung, tetapi juga berupa langkah melindungi kesalahan orang lain memalui penyalahgunaan kuasa.

Pada umumnya sesuatu hak tidak sampai kepada orang yang berhak memilikinya, kecuali setelah melalui kesulitan yang amat berat, atau setelah dipotong sebahagian hak itu dengan tanpa ada alasanya.

Dalam situasi begini, dimanakah yang dinamakan ‘takut’ kepada Allah? Dimanakah letaknya waspada diri terhadap Allah Maha Mengetahui, yang ghaib dan yang nyata? Allah berfirman bermaksud :

“… dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak. Mereka datang bergegas-gegas memenuhi panggilan dengan mengangkat kepalanya sedang mata tidak berkelip-kelip dan hati mereka kosong.”

(surah Ibrahim : 42-43)

Janganlah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang disifatkan oleh Allah dengan firmanNya yang bermaksud:

“Biarlah mereka (di dunia ini makan dan bersenang-senang dan lalaikan oleh angan-angan (kosong), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka).”

(surah Al-Hijr: 3)

Rabu, 27 Januari 2016

Seni Hiburan Dalam Islam – Bhg 1


Seni merupakan ekspresi roh dan budaya manusia yang mengandungi dan mengungkapkan keindahan. Kecenderungan seseorang seniman terhadap keindahan terlahir dalam diri manusia itu sendiri kerana sesuatu keindahan itu memaparkan naluri  atau fitrah  manusia yang dianugerahkan Allah kepada hambaNya.

Elemen yang terdapat dalam kesenian dapat meningkatkan pertumbuhan pendidikan dan kebudayaan sesuatu bangsa yang sedang membangun. Seni sentiasa menjadi medan perbincangan dalam sejarah, kebudayaan dan ketamadunan manusia. Seni dihasilkan dalam bentuk yang kreatif yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi  dan inovasi seseorang individu.

Demi memperoleh satu sistem hidup Islam mengharuskan hiburan yang boleh membawa kebaikan. Seni lagu yang diharuskan oleh syarak boleh menjadi alat untuk mendidik sambil berhibur.

Muzik dan tarian merupakan ciri kehidupan yang melahiran gerak irama yang membawa manusia ke alam yang luas, jauh dan syahdu. Laungan Azan yang berkumandag dapat memikat hati manusia untuk mengerjakan solat. Paluan gendang dapat menyemarakan semangat manusia yang sedang perjuang. Alunan dodoi para ibu dapat mempercepatkan pertumbuhan bayi di dalam ayunan.

Mengulas mengenai muzik di dalam Islam membawa satu unsur penting dalam tradisi kerohanian Islam kerana ia merupakan satu disiplin ilmu dalam pembaharuan falsafah Islam. Di kalangan ahli sufi Islam, muzik merupakan wahana penting dalam memingkatkan tingkatan kerohanian di samping membentuk jiwa yang lembut, membangkitkan kedamaian rasa dan ketenangan hati.

Kebudayaan dan kesenian merupakan alat untuk menentukan nilai sesebuah bangsa. Seni dianggap sebagai salah satu pembangunan sesebuah tamadun. Oleh itu masyarakat Islam terutama mereka yang terdiri daripada lingkungan alim ulama, perlu mencapai kata sepakat dalam memandang dan menilai masalah dalam seni dan kebudayaan.

Pandangan Islam terhadap kesenian tidak kelihatan jelas pada zaman Nabi SAW dan pada zaman sahabat. Malah seakan ada pembatasan yang menghalang perkembang kesenian. Mungkin pada waktu itu  proses penghayatan Islam baru bermula dan Baginda Nabi SAW perlu berhati-hati dalam membentuk jiwa masyarakat yang telah sekian lama tercengkam dalam kehidupan yang jahil.

Bersambung…
  





Selasa, 26 Januari 2016

Kerana Mulut Badan Binasa



Belah halia masak di kuali
Tadah keranji sebentar nanti
Itulah manusia sejak azali
mudah berjanji sukar ditepati

Bidalan Melayu menyatakan mengungkap janji adalah sesuatu yang amat mudah, bagaimana pula dengan perlaksanaannya? Adakah ia juga semudah seperti yang kita ungkapkan?

Menurut Imam Ghazali dalam “Tujuh Jalan Ke Neraka” beliau menyatakan kegunaan lidah untuk membaca kitab Allah, menyatakan puji syukur kehadiratNya, memohon doa kepadaNya, mengajak manusia ke arah taat kepada Allah SWT dan membicarakan hal-hal yang baik baik serta bermanfaat. Selanjutnya Imam Ghazali berpesan agar kita tidak membiarkan lidah kita membawa kita ke neraka.

Seseorang itu tidak akan menjadi orang yang mungkir janji baik secara sengaja ataupun secara tidak sengaja seandainya dia tidak membuat janji. Lidah yang membawa kita ke neraka adalah lidah yang selalu mengucapkan janji-janji sehingga kita tidak lagi mampu menepati janji tersebut, kerana terlalu banyaknya janji yang telah diucapkan.

Dalam hidup, orang yang selayaknya paling dihormati adalah diri sendiri. Tiada sebab untuk marah jika diri tidak dihormati oleh orang lain, andai kita tidak menghormati diri sendiri. Cara untuk menghormati diri sendiri adalah dengan menepati janji yang dimeterai oleh diri kita kepada diri sendiri.

Janji merupkan 'self talk'. Menurut kajian, orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang punya harga diri yang tinggi. Salah satu tanda seseorang miliki harga diri yang tinggi adalah dengan menghormati dirinya sendiri.

Kesan daripada memungkiri janji pada diri sendiri, seseorang akan hilang semangat untuk hidup. Ia akan mengakibatkan murung, hilang keyakinan diri dan mudah kecewa dengan diri sendiri. Secara tidak langsung hilang jiwa berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

Kegagalan menunaikan janji ada kalanya disebabkan janji yang cuba dipenuhi itu tidak bersifat realistik. Janji memerlukan azam yang tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah. Contohnya, jika mahu melakukan solat lima waktu pada awal waktu, boleh dimulakan dengan solat Isyak berjemaah. Kemudian ditingkatkan kepada solat Subuh berjemaah dan akhirnya solat lima waktu akan terlaksana secara berjemaah yang secara tidak langsung akan didirikan pada awal waktu.

Orang yang bersifat menetapi janji selalu berusaha untuk mengelakkan dirinya dari berjanji. Ingatlah bahawa berjanji dan memungkirinya adalah salah satu sifat orang munafik.