Penghujung Julai 2014, sedang rakyat Malaysia beragama Islam sibuk
membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri lahir sebuah naskah antologi yang
memuatkan esei, cerpen dan sajak berjudul
‘Nak Jadi Thukul’.
Mengapa Thukul, apa yang tersembunyi di balik perkataan tersebut?
Mengapa mesti dieja thukul tidak tukul?
Teka-teki ini hanya akan terjawab apabila anda membaca naskah “Nak Jadi
Thukul”. Buku tribute ini sebenarnya lebih mengangkat semangat juang seorang
seniman aktivis Indonesia yang secara
tidak langsung terlibat dengan kegiatan kesusasteraan iaitu puisi. Selain itu
beliau juga terlibat dalam kegiatan teater dan seni lukis.
Mungkin ramai yang akan tertanya-tanya mengapa Wiji Thukul, tidak
adakah tokoh sasterawan dari tanah air sehingga perlu kita angkat susuk tokoh
luar sebagai contoh? Ya, sudah tentu kita punya ramai susuk tokoh negarawan
yang boleh diangkat namun begitu, kelahiran antologi ini bukanlah menolak
perjuangan nasionalis tanah air tetapi memperkenalkan kepada khalayak merasai
semangat juang melalui persepsi yang berbeza. Adalah lebih baik kita mengangkat
tokoh luar yang serumpun dengan kita dari mengangkat tokoh terlalu jauh dengan
kebudayaan dan latar kita.
Hanya bahagian esei sahaja yang menceritakan perihal akan Wiji
Thukul dan analis karya beliau manakala selebihnya bertampuk dan berlandaskan
idea yang meletakkan kejituan terhadap kritikan sosial tanah air.
Buku tribute “Nak Jadi Thukul” yang diterajui Beduk Logam bersama sembilan
penulis bersama telah meluahkan idea dan sudut pandang generasi muda terhadap
sistem sosial masa kini. Ini adalah satu usaha yang baik dalam memperkayakan
persuratan Melayu. Penulisan esei yang
dimulai dengan “Bisakah Seni Memperbaiki Hidup” lebih banyak bermain dengan jiwa seseorang
untuk menjadi seniman yang mengajak khalayak atau pembaca berfikir hala tuju
sebuah karya seni ataupun persoalan ‘untuk apa kita berseni’. Dengan adanya persoalan sebegini ia akan
menentukan mutu sesebuah karya yang lahir.
Seterusnya diikuti dengan
tulisan “ Negara dan Widji Thukul : Suatu Kalkulasi Simbolik” oleh Ramayda
Akmal. Esei beliau membincangkan perihal akan Widji Thukul yang terkenal dengan
puisi-puisi yang mengkritik pemerintah sehinggakan pihak kerajaan merasakan
beliau adalah seorang yang merbahaya kerana menggugat kedudukan melalui karya
yang bersifat protes dan kritikkan sehingga dapat memprovok massa. Hal ini
menjadikan Widji Thukul sebagai simbolik kepada penentangan ketidakadilan
penguasa atau pemerintah melalui semangat juang yang terlahir dari karya-karya
beliau.
Dalam “Sindrom Muhaya : Kritikan Wertheim dan Thukul atas Sosiologi”
tulisan Benz Ali, lebih mengetengahkan
perihal kolompok kelas antara borjuis dan proletariat. Apa yang ditekan di sini adalah tekanan yang
dilempar oleh kaum pemodal terhadap kaum tani kononnya mereka ini (petani) sangat malas
berkerja kerana pengeluaran produksi terjejas akibat kekurangan bahan mentah
atau sebagainya.
Dari sisi kaum perkerja karya Wiji
Thukul diangkat sebagai simbolik suara kuam pekerja yang menyatakan
keperitan hidup dan betapa tertekannya hidup meraka. Adakah setimpal imbal-balik
yang diterima? Tentu sekali tidak. Dengan itu maka terlahirnya karya-karya yang menceritakan keperitan
hidup atau ketidakadilan pemerintah terhadap rakyatnya atau majikan terhadap
pekerja. Apa yang persoalkan di sini adalah kekalutan sistem yang lahir hingga membuat golongan bawahan sentiasa
tertindas. Mampukah sesebuah negara itu
hidup tanpa kelas?
“Thukul dan Peluru” lebih mengangkat tugas atau hala tuju seorang
penyair, seorang penyair adalah seorang pemerhati dan jauh sama sekali terikat
atau bergelumang dengan politik yang memberat kepada sebelah pihak sahaja.
Penyair adalah pengkritik dan sentiasa menimbulkan persoalan-persoalan yang
mengajak khalayak yang membaca syair atau sesebuah puisi itu untuk
berfikir.
Maka Hanya Ada Satu Kata : “Lawan” lebih menekan permaknaan diksi
yang digarap oleh Wiji Thukul dalam pengisian karya beliau, secara keselurahan
pengisian sajak-sajak Wiji Thukul jika
sekali imbas bersifat donotatif tetapi sekiranya dibaca secara berulang ia akan
menjadi konotatif yang melahirkan permaknaan yang berbeza. Sajak-sajak Wiji
Thukul mudah untuk difahami dan mencapai
maksud yang jelas dari segi penyampaiannya.
Cerpen atau cerita pendek adalah gagasan idea yang disampaikan
melalui naratif. Adakalanya ia tidak menekankan jalan cerita tetapi lebih
menekankan kepada mesej yang ingin
disampai. Cerpen berbeza dengan novel. Umum mengetahui novel adalah cerita
panjang yang mempunyai ranting cerita, gagasan idea atau falsafahnya lebih dari
satu, jika tidak digarap dengan baik maka akan terpesonglah konsep atau gagasan
yang ingin dibawa.
“Rokok John Naik Tiga Kupang” karya Harafat Hambali menekan perihal
kenaikan harga, yang mendadak. Dalam
tulisannya beliau juga turut mengkritik sikap pemimpin yang bersikap lepas
tangan dalam menangani masalah kenaikan
harga. Justeru itu beliau mengangkat rokok John sebagai satu simbolik gagasan
yang merosakkan sistem melalui peralihan dari rokok John ke rokok daun. Lebih
jimat lebih nikmat. Seperti yang kita tahu rokok adalah sesuatu yang
mendatangkan keburukan dari segi sistem kesihatan manusia. Kita dapat lihat dari segi permaknaan yang
digarap ialah rokok sebagai rakyat dan tubuh badan yang sihat itu adalah
pemerintah. Biarpun begitu kemudaratan yang terhasil bukan untuk rakyat tetapi
menyerang ke sistem atau penguasa sesebuah
negara. Alternatif yang diambil ini adalah inovasi pemikiran kristis seorang
rakyat yang kecewa dengan sikap lepas tangan seorang pemimpin. Dari kecewaanlah
bangkit satu perlawan yang mentang sistem yang sedia ada untuk kehidupan yang
lebih baik.
Nik Aidil dengan karya
“Surat kepada Ala 1&2” memecahkan
kepada dua bahagia bahagian pertama menyentuh tentang rumah sajak secara tidak
langsung menekan permasalahan yang timbul dalam kolompok sosial. Manakala
bahagian kedua beliau meletakkan penekanan kepada gagasan idea sama ada
berkesan atau apabila dilaksanakan. Walaupun begitu, banyak persoalan yang
tersirat yang ditinggalkan kepada pembaca, antaranya ialah falsafah rumah, melihat kepada perkataan ‘rumah’ ia membawa kepada satu gagasan yang menyingkap
perihal intergiti, perpaduan dan kebertanggungjawaban. Bahagian dua pula lebih
merujuk kepada kematian budaya, hal ini jadi akibat segelintir budayawan yang
hilang rasa tanggungjawannya dan juga kritikan kepada masyarakat terhadap
pemerimaan budaya tradisi mereka yang berlawan dengan tuntutan serba moden ini.
Selanjutnya kita susuri lima buah cerpen dari Bedok Logam. “Tahi Sastera” mengisahkan
tentang seorang pemuda yang sangat tinggi misi dan visinya memerangni
kemasukkan budaya hedonism ke dalam dunia kesusasteraan, apa yang cuba
dibangkitkan di sini wajarkah kita cuma mempunyai gagasan atau idea-idea sahaja
tanpa ada sebarang tindakan? Tentu sekali tidak.
Cerpen “Orang Kecil” secara dasarnya merujuk kepada masalah
kejiwaan yang dialami oleh watak ‘Aku’ iaitu anorexia (keinginan untuk
menjadi kurus atau cantik). Apabila kita menyelami ke dasar pengisian cerpen
ini ia merupakan simbolik kritikan kepada pemerintah yang tidak pernah puas
akan apa yang telah mereka gelapkan ataupun mereka selewengkan, watak bayang timbul dalam cermin itu adalah gambaran kepada pemerintah yang
semakin hari semakin gemuk sehinggakan tidak mampu berjalan. Manakala watak
‘Aku’ mewakili derita rakyat atau kaum tertindas yang semakin hari semakin
kurus dan menderita.
Cerpen “Panggung Absurd” adalah
kritikan kepada golongan budayawan yang terlalu mementingkan teoritikal
sehingga menghilangkan keindahan karya seni itu sendiri. Dan persoalan yang
ditinggalkan kepada pembaca ialah dalam menghasilkan karya seni apa yang perlu
didahulukan pengisian atau konsep teorinya? Teoritikal terhasil selepas
wujudnya sesebuah karya. Maka jika seseuah karya seni itu dibina berdasarkan
teori maka akan wujud sedikit kecacatan, kerana tidak ada pembebasan yang
meluas saat karya itu terhasil.
“Apakah yang Akan Berlaku Kalau Seluruh Manusia Berhenti bercakap”
mengisahkan tetang kuasa besar dunia bersepakat untuk meletakkan undang-undang
baru bahawa manusia dilarang sama sekali. Biarpun bentuk cerpen ini mudah
diratah atau dihadami tetapi ia meninggalkan kesan dan persoalan yang besar
kepada pembaca. Antaranya ialah larangan bercakap itu sendiri? Bercakap yang
bagaimanakah dilarang? Mengapa larangan bercakap itu dikuatkuasakan adalah
persoalan yang paling penting sekali yang harus dijawab oleh pembaca. Bercakap
yang dimaksudkan oleh saudara Beduk Logam dalam cerpen ini lebih menjurus
kepada kritikan kepada pembesar atau pemerintah. Rakyat dilarang sama sekali menyuarakan
segala keburukkan yang berlaku di dalam sistem pentadbiran. Ini kerana dengan
adanya suara-suara sumbang inilah yang akan mencemari prestasi dan nama baik
mereka. Seboleh-bolehnya penyelewengan dalam pemerintahan ini ingin sekali
menyembunyikan segala kesalahanannya biar pun jelas terbukti. Dengan adanya
kuatkuasa yang begini maka bersihlah segala kekotoran yang mereka lakukan dan
rakyat pula seolah merelakan perbuatan mereka. Biarpun cerpen ini seperti
memenangi idealogi pemerintah zalim terdapat satu watak “Aku” menentang
kuatkuasa yang ingin dilakukan oleh pemerintah zalim.
Cerpen “Bila Perempuan Merintih” berkisahkan tentang pengorbanan. Ia lebih mengajak kita berfikir
kewajaran pengorbanan itu sendiri. Selain itu juga ia merujuk pada pengharapan
yang tinggi atau dalam kata lain imbal-balik terhadap perngorbanan yang telah dilakukan.
Keseluruhan pengisian penceritaan mengisahkan tentang keluhan orang-orang kecil
dalam menangani penindasan terhadap mereka, contohnya watak “Aku” itu sendiri.
Dia hanya akan memberikan wang kepada Midas setelah nafsu serakahnya dipuaskan.
Rintihan yang diluahkan oleh watak ‘Midas’ kepada ‘Aku’ seakan tidak memberi
apa-apa makna. Biar pun begitu inilah persoalan dan gagasan idea yang menjadi
tunjang utama dalam cerpen ini. Ia lebih mengajak pembaca berfikir erti sebuah
pengorbanan.
Pada bahagian sajak, antologi ini memuatkan dua puluh dua buah
karya, masing-masing membawa gagasan yang tersendiri. Menurut Muhammad Haji
Salleh sajak tidak dapat disamakan dengan bahan ilmu tulen seperti biologi atau
psikologi atau sosiologi kerana ilmu tulen mempunyai disiplin dan kaedah yang
khusus. Logik persembahan sajak lebih
berbaurkan logik perasaan dan wawasan, manakala ilmu lebih tulen lebih objektif
dan terikat dengan peraturan dan disiplinnya. Sajak biasanya menjadi pembawa
pengalaman hidup manusia, cara berasa dan berfikir, sikap dan pandangannya
terhadap masyarakat dalam alam raya. Sajak menjadi pelengkap kepada ilmu tulen
ini kerana ia khusus membawa bahagian
kehidupan yang tidak dapat dilihat dengan saksama hanya melalui sesuatu
disiplin atau objektif ilmu.
Ada perasaan, ada fikiran dan ada pula deria. Sajak atau puisi
sering menangkap kenyataan yang luar biasa, yang abstrak; membawa kita kepada
pengalaman-pengalaman dari sudut pendekatan yang baru. Karya yang baik selalu
membijaksanakan, dengan maksud ia menolong kita mengenal ke arah penyelesaian.
Sajak atau puisi menceritakan tentang kenyataan yang ada, tetapi
dengan imaginasi dan kreativiti ia mungkin sampai kepada daerah-daerah yang
tidak dapat dicapai oleh bahasa biasa.
Kimi Ismawi dalam nukilannya berjudul “Kenapa Diam” mengajak pembaca atau
khalayak yang mendengar isi atau bait sajak ini untuk bangkit melawan
penindasan yang kita sendiri sedar, biarpun begitu tidak ramai berani bangkit
untuk melawan seakan kita ini merelakan apa yang berlaku walaupun kita sendiri
ditindas.
Awal permulaan sajak telah membentangkan kepada khalayak akan
tekanan-tekanan yang dilakukan oleh penguasa-penguasa zalim kepada rakyat. Mari
kita lihat rangkap pertama: -
Aku mahu tahu kenapa semua masih diam
apabila kepala dipijak sesedap hati
apabila suara dicantas mesin menteri
apabila hidup ditaja kuku besi
(m/s 130 Nak Jadi Thukul)
Baris pertama rangkap ini adalah pertanyaan keras yang dilontar
oleh Kiwi Ismawi. Pertanyaan begini seakan satu sindiran kepada kita masih
berdiam sedang diri ditindas seolah merelakan apa yang berlaku tanpa ada
perlawanan.
Apa ada pada mahasiswa yang mahu menjadi peluru
kala mindanya dijajah penjajah
penjajah bertag nama “bumiputra”
hanya kuasa raksasa berpaksi hantu
(m/s 130 Nak Jadi Thukul)
Rangkap tiga
seperti di atas memperlihatkan gelagat segelintir pihak yang mahu lawan tetapi
pemikirannya masih terbelenggu dengan idealogi lama tanpa membuat peralihan
atau pembaharuan. selain itu juga pada rangkap ini juga sedikit mengkritik
bangsa melayu dan sistem pemerintah yag sedia ada.
Apa yang kita dapat simpulkan pada keseluruahan sajak “Kenapa Diam”
ialah mengajak kita berpindah minda ke satu era yang lebih nyata, untuk ke arah
itu kita harus bangkit dan lawan bukan berdiam diri.
“Aku Ingin Menjadi Peluru” menyuntik semangat untuk mereka yang berdiri
medan perjuangan. Namun begitu ada satu persoalan besar yang ditinggalkan oleh
Muhammad Saifullah dalam iaitu makna peluru itu. Adakah peluru itu membela atau
memusnahkan? Ia adalah sesuatu yang subjektif dan hanya boleh dijawab oleh
pembaca atau khalayak yang menyusuri bait kata yang diukir.
Walau bagaimana pun pada rangkap terakhir Muhammad Saifullah
menjelaskan menjadi peluru adalah jalan kematian, sama ada yang menentang
peluru atau menjadi peluru. Keduanya pasti mati apabila bertembung. Namun
kematian bukan ketakutan demi meraih cita-cita
dan impian. Jika mati. Mati yang bagaimana?
mari kita amati bait akhir sajak
“Aku Ingin Menjadi Peluru” :
Bila dilepaskan konklusinya mati
tak perlu didacing lagi
hanya perlu ingat pada ilahi
hidup itu mesti, mati itu pasti
(m/s
133 Nak Jadi Thukul)
Benz Ali dengan baris katanya melalui sajak “Dari Penjara
Terlahirlah Wira” mendorong para pejuang yang menegakkan keadilan agar tidak
berputus semangat biarpun mereka tertindas, di masa mendatang pasti akan ketemu
jua keadilan baginya, dan penguasa zalim tentu saja akan merima balasan
atas kezaliman yang telah dilakukan.
Rejim zalim pasti tumpas
biar mereka terus bercengkerama
biar mereka terus berama-rama
takhta jelata yang telah lama tertindas
pasti dunia ini kan akhirnya bebas
(m/s 135, Nak Jadi Thukul)
Sebagai seorang pejuang kita tidak harus mudah mengalah, malah
sentiasa melawan demi menegakkan keadilan. Dan setiap setiap rintangan yang
datang adalah penguat bukan melemahkan semangat.
Kardil Lani seorang yang
kreatif dalam permainan kata.
Sajak beliau “Ingat-ingat” sarat dengan simbol. Pada rangkap pertama sajaknya
diiringi dengan suasana cuaca yang suram sebelum ia melontarkan pesan dan
ingatan kepada pembaca mahupun khalayak sastera. Mari kita susuri bait kata
tersebut :
Mega? Mendung,
Awan? Gugur tak berbumbung,
Laut? Sudah kembung jerung ratah duyung,
Jambatan agung? Merayang-rayang nisbah menggulug,
Atma terhayang, Sukma terhayung.
(m/s 138, Nak Jadi Thukul)
Bayangan cuaca dijadikan sebagai simbol akan datangnya bencana atau
perkara buruk. Kemudian disoroti dengan tragedi, di mana jerung menjadi simbol
sebagai penguasa zalim, manakala duyung pula adalah nasib orang yang tertindas,
‘jambatan agung’ mungkin boleh di
sifatkan sebagai perjalanan menuju kejayaan atau impian namun telah terkandas
sehingga membuatkan jiwa terhuyung-hanyang.
Pada rangkap akhir sajak “Ingat-Ingat” jelas menerangkan kepada
kita agar sentiasa menyampaikan pesan agar sentiasa menjaga adat dan tradisi
dengan meletakan kain batik sebagai simbol tradisi, selain itu jati diri juga
harus dipertahankan . Hal ini dapat di buktikan pada rangkap terakhir :
Dayang-dayang, ingatkan piat-piut,
Batik itu perlu diikat, usah lucut,
Badang-badang, ingatkan piat-piut,
Nusantra ini masih di jajah, usah kecut
Wallahualam... .
(m/s138, Nak Jadi Thukul)
“Negaraku Lucu” tulisan Arafat Hambali mengkritik arena politik
negara berkecamuk yang berat sebelah, dan kita sebagai rakyat harus sedar dan
bangkit untuk memperbetulkan kekecamukkan ini agar tidak diketawakan oleh
negara melihat kemelut politik tanah air. Ini dapat dibuktikan pada rangkap
berikut :
Ingat anak muda, jangan sangka matimu tua! Itu kerja tuhan.
Dan setan-setan sedang tertawakan kau, berteriakan-ria.
Ingat Sang Koruptor, hidupmu cuma serpihan najis berantakan
dari sisa-sisa buruhan.
Jangan enak kau liburan!
Kelak ajalmu di tiang gantungan
(m/s 149, Nak Jadi Thukul)
Kelucuan yang diketengahkan dalam sajak ini adalah derita atau
tekanan yang terima oleh pihak oposisi mahupun rakyat dari penguasa zalim. Oleh kita haruslah melawan dan
menjernihkan segala kekeruhan.
Beduk logam dalam penyampaiannya yang telus melalui sajak “Catatan Malam” mengenengahkan peranan sajak,
atau kekuatan sajak sebagai satu senjata perlawanan yang dapat menggugat
ketenteraman penguasa zalim. Mari kita perhatikan pada rangkap berikut :
‘Sajak mu telah melakukan criminal terhadap para penindas dalam negeri ini.’
(m/s 150, Nak Jadi Thukul)
Apa yang cuba disampaikan di
sini adalah dalam mencetuskan perlawanan kita tidak semestinya mengangkat
senjata, kata-kata ataupun tulisan kita mampu menjadi peluru untuk menyerang
penguasa zalim.
Amir Sazali dengan sajaknya yang berjudul “Dengar” memperlihatkan
kepada kita tentang nasib sasterawan yang ditindas kerana melawan penguasa
zalim. mari kita amati bait rangkap yang menjelaskan situasi ini :
Adakah ini semua kerana perbuatanku
Adakah ini semua kerana pensil kontotku!
Salahkah aku menconteng sana sini?
Untuk memberi keindahan tapak yang korup ini!
(m/s 163 Nak Jadi Thukul)
Pada zaman serba edan ini menjadi seorang penyair mahupun sasterawan yang
menentang kezaliman pasti mendapat tentangan hebat dari penguasa yang tidak
adil. Biarpun begitu halangan ini jauh sama sekali mematahkan semagat mereka
untuk terus menulis demi menegakkan keadilan. Biarpun nyawa terpisah dari badan
namun kata-katanya, setiap bait dari tulisan tidak akan mati, malah terus hidup
melebihi umurnya sendiri. Untuk menjadi seorang Thukul bukan untuk
bersenang-senang atau bermegah-megah. Menjadi seorang Thukul ada seorang yang
melawan biar jasad terpisah. Namun setiap kata-kata yang lahir dari sukma terus melawan sehingga akhirnya.