Selasa, 26 Januari 2016

Kerana Mulut Badan Binasa



Belah halia masak di kuali
Tadah keranji sebentar nanti
Itulah manusia sejak azali
mudah berjanji sukar ditepati

Bidalan Melayu menyatakan mengungkap janji adalah sesuatu yang amat mudah, bagaimana pula dengan perlaksanaannya? Adakah ia juga semudah seperti yang kita ungkapkan?

Menurut Imam Ghazali dalam “Tujuh Jalan Ke Neraka” beliau menyatakan kegunaan lidah untuk membaca kitab Allah, menyatakan puji syukur kehadiratNya, memohon doa kepadaNya, mengajak manusia ke arah taat kepada Allah SWT dan membicarakan hal-hal yang baik baik serta bermanfaat. Selanjutnya Imam Ghazali berpesan agar kita tidak membiarkan lidah kita membawa kita ke neraka.

Seseorang itu tidak akan menjadi orang yang mungkir janji baik secara sengaja ataupun secara tidak sengaja seandainya dia tidak membuat janji. Lidah yang membawa kita ke neraka adalah lidah yang selalu mengucapkan janji-janji sehingga kita tidak lagi mampu menepati janji tersebut, kerana terlalu banyaknya janji yang telah diucapkan.

Dalam hidup, orang yang selayaknya paling dihormati adalah diri sendiri. Tiada sebab untuk marah jika diri tidak dihormati oleh orang lain, andai kita tidak menghormati diri sendiri. Cara untuk menghormati diri sendiri adalah dengan menepati janji yang dimeterai oleh diri kita kepada diri sendiri.

Janji merupkan 'self talk'. Menurut kajian, orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang punya harga diri yang tinggi. Salah satu tanda seseorang miliki harga diri yang tinggi adalah dengan menghormati dirinya sendiri.

Kesan daripada memungkiri janji pada diri sendiri, seseorang akan hilang semangat untuk hidup. Ia akan mengakibatkan murung, hilang keyakinan diri dan mudah kecewa dengan diri sendiri. Secara tidak langsung hilang jiwa berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

Kegagalan menunaikan janji ada kalanya disebabkan janji yang cuba dipenuhi itu tidak bersifat realistik. Janji memerlukan azam yang tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah. Contohnya, jika mahu melakukan solat lima waktu pada awal waktu, boleh dimulakan dengan solat Isyak berjemaah. Kemudian ditingkatkan kepada solat Subuh berjemaah dan akhirnya solat lima waktu akan terlaksana secara berjemaah yang secara tidak langsung akan didirikan pada awal waktu.

Orang yang bersifat menetapi janji selalu berusaha untuk mengelakkan dirinya dari berjanji. Ingatlah bahawa berjanji dan memungkirinya adalah salah satu sifat orang munafik.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan