Rabu, 27 Januari 2016

Seni Hiburan Dalam Islam – Bhg 1


Seni merupakan ekspresi roh dan budaya manusia yang mengandungi dan mengungkapkan keindahan. Kecenderungan seseorang seniman terhadap keindahan terlahir dalam diri manusia itu sendiri kerana sesuatu keindahan itu memaparkan naluri  atau fitrah  manusia yang dianugerahkan Allah kepada hambaNya.

Elemen yang terdapat dalam kesenian dapat meningkatkan pertumbuhan pendidikan dan kebudayaan sesuatu bangsa yang sedang membangun. Seni sentiasa menjadi medan perbincangan dalam sejarah, kebudayaan dan ketamadunan manusia. Seni dihasilkan dalam bentuk yang kreatif yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi  dan inovasi seseorang individu.

Demi memperoleh satu sistem hidup Islam mengharuskan hiburan yang boleh membawa kebaikan. Seni lagu yang diharuskan oleh syarak boleh menjadi alat untuk mendidik sambil berhibur.

Muzik dan tarian merupakan ciri kehidupan yang melahiran gerak irama yang membawa manusia ke alam yang luas, jauh dan syahdu. Laungan Azan yang berkumandag dapat memikat hati manusia untuk mengerjakan solat. Paluan gendang dapat menyemarakan semangat manusia yang sedang perjuang. Alunan dodoi para ibu dapat mempercepatkan pertumbuhan bayi di dalam ayunan.

Mengulas mengenai muzik di dalam Islam membawa satu unsur penting dalam tradisi kerohanian Islam kerana ia merupakan satu disiplin ilmu dalam pembaharuan falsafah Islam. Di kalangan ahli sufi Islam, muzik merupakan wahana penting dalam memingkatkan tingkatan kerohanian di samping membentuk jiwa yang lembut, membangkitkan kedamaian rasa dan ketenangan hati.

Kebudayaan dan kesenian merupakan alat untuk menentukan nilai sesebuah bangsa. Seni dianggap sebagai salah satu pembangunan sesebuah tamadun. Oleh itu masyarakat Islam terutama mereka yang terdiri daripada lingkungan alim ulama, perlu mencapai kata sepakat dalam memandang dan menilai masalah dalam seni dan kebudayaan.

Pandangan Islam terhadap kesenian tidak kelihatan jelas pada zaman Nabi SAW dan pada zaman sahabat. Malah seakan ada pembatasan yang menghalang perkembang kesenian. Mungkin pada waktu itu  proses penghayatan Islam baru bermula dan Baginda Nabi SAW perlu berhati-hati dalam membentuk jiwa masyarakat yang telah sekian lama tercengkam dalam kehidupan yang jahil.

Bersambung…
  





Tiada ulasan:

Catat Ulasan