Selasa, 23 Februari 2016

Cendiakawan Perubatan Islam : Ibnu Sina


Ibnu Sina dilahirkan pada 980M atau 370H merupakan seorang doktor Islam yang terulung. Sumbangannya dalam bidang perubatan bukan sahaja diperakui oleh dunia Islam, malah oleh sarjana Barat. Nama sebenar Ibnu Sina ialah Abu Ali  Al-Hussain Ibnu Abdallah Ibn Sina dan di Barat di kenali sebagai Avicenna.

 Ibnu Sina mula menjadi terkenal semasa berusia 17 tahun apabila Berjaya menyembuhkan penyakit Raja Bukhara  iaitu Nooh Ibn Mnasoor yang gagal diubati oleh para doktor lain. Apabila Raja Bukhara ingin mengurniakan harta dan kebesaran, beliau menolak sebaliknya meminta keizinan untuk menggunakan perpustakaan Istana yang sangat lengkap dan unik pada ketika itu. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolak bandingnya sehingga di dunia Islam, beliau di gelar sebagai al-Syekh Al-Rais (Mahaguru Pertama).

Ibnu Sina Menguasai pelbagai ilmu pengetahuan selain daripada Ilmu perubatan seperti  geometri, logik, matematik, sains, fiqh dan falsafah tetapi di barat beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan. Buku dan pemikirannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya yang bertajuk Al Qanun Fil Tabib (undang-undang Perubatan)   telah diterbitkan 500 tahun selepas penerbitan pertamanya di Rom, iaitu 1593, seterusnya diterjemah ke dalam bahasa inggeris dengan judul Precepts of Medicine (peraturan Perubatan).

Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun  selepas itu, buku itu dicetak ke dalam 15 jenis bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai  bahan rujukan asas oleh para pelajar perubatan di university  Itali dan perancis sehingga abad ke-19.

Ibnu Sina Juga menghasilkan sebuah buku yang diberi judul  Remedies for the Heart ( Penawar Untuk Hati) yang menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit serta cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja malah merangkumi bidang dan ilmu lain seperti  metafizik, muzik, astronomi, philology (ilmu bahasa) syair, prosa, dan agama.

 Pemikiran  falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran Falsafah Al-Farabi yang telah menghidupkan semula pemikiran Aristotle tetapi menapis teori kosmologi Yunani ini dan mengislamkannya. Al-Farabi, iaitu Abu  Nasr Mohammad Ibnu  al-Farakh al-Farabi (870-950) merupakan cendekiawan parsi di Zaman pemerintahan Abassiyah. beliau seorang ahli falsafah, muzik, perubatan dan matematik telah menghasilkan sekurang-kurangnya 117 buah buku berkaitan bidang ini. oleh itu, falsafah perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.

Selasa, 9 Februari 2016

Islam Meraikan Seni – Bhg 2

Dunia Seni amat indah dan sensetif.  Ia disukai, dicemburui malah sering dieksploitasi sehingga menjerumuskan seseorang seniman ke jurang maksiat. Hakikatnya, seni  itu bersifat murni dan amat bermanfaat untuk untuk membangunkan hati nurani manusia  dan kehidupan muslim. Dewasa ini seni dilihat dari segi perfektif negatif berdasarkan situasi semasa yang berlaku dalam dunia muzik dan hiburan. Perkembangan seni muzik dan hiburan masa kini sama ada di barat atau di negara Islam sendiri di lihat banyak yang memesongkan akidah dan pemikiran masyarakat, namun begitu bukanlah semua karya seni hiburan dan muzik bersifat demikian ada juga yang meletakan elemen-elemen kesedaran dan nilai murni dalam lirik lagu walaupun beraromakan muzik rock.

Realitinya, masyarakat Islam kini dihujani dengan pelbagi ancaman budaya yang berbentuk hiburan yang mencetekkan pemikiran seperti drama-drama cinta dan alunan rentak muzik yang kurang baik nilai liriknya.
Kesenian ‘sumbang’ ini disalurkan melalui pelbagai sumber dan wahana yang kini menjadi pilihan untuk berhibur. Seperti yang dapat kita lihat hari ini terlalu banyak program-program realiti yang kurang memberi manfaat kepada penonton melainkan hiburan semata-mata. Nilai hiburan yang baik adalah memberi kesan kepada jiwa manusia dengan menanamkan nilai pengajaran yang tinggi apabila seseorang itu menghayati sesuatu muzik atau pun menonton filem.

Seni muzik seringkali dikatakan sebagai sesuatu wadah yang melalaikan, membuang masa dan mendorang manusia kepada kemungkaran. Adakah begitu? Dalam hal ini seseorang pengkarya itu haruslah bijak dalam meletakkan unsur-unsur harmoni dengan menerapkan elemen ketenangan, kedamaian, ketakwaan dan keimanan serta menjaga batas-batas dan larangan dalam hukum agama.  Seorang seniman yang baik sesungguhkan akan menjaga elemen ini kerani seni adalah sebagian wadah dalam penyebaran dakwah kepada masyarakat.

Menyusur kepada kehidupan Rasulullah SAW, membuktikan bahawa baginda tidak melarang nyanyian yang tidak membawa kepada kemaksiatan. Nyanyian yang sangat popular di kalangan umat Islam ialah berzanji dan marhaban yang memuji Rasulullah SAW, nyanyian yang sarat dengan nilai-nilai agama.

Sementara itu, Imam Ahmad telah meriwayatkan, bahawa dua wanita mendendangkan lagu yang isinya mengenang para pahlawan yang telah gugur dalam peperangan Badar sambil menabuh gendang.

Berbeza pula dengan pendapat Para Ulama mengenai hukum muzik dalam Islam samada ia dibolehkan atau dilarang. Sebahagian ulama mengharamkan mendengar muzik atau memainkannya secara umum. Manaka sebahagian lagi membolehkan selama muzik itu mengandungi nasihat yang tidak bertentangan dengan Islam. Beberapa Ulama seperti Imam Az-Zahiri, Imam Asy-Syafie, Imam Malik dan Al-Ghazali membolehkan penggunaan alat muzik dan nyanyian selagi liriknya tidak terdapat ungkapan yang tidak baik dan boleh menimbulkan fitnah. Di samping itu terdapat juga beberapa hadis Nabi SAW tentang hal ini dan di perkuatkan dengan dalil pada surah  Luqman ayat 19 yang bemaksud :

“ Dan serdahanalah kamu dalam berjalan, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai”

Mengulas tentang ayat itu, Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa Allah memuji suara yang baik sehingga tidak dilarang mendengarkan nyanyian yang baik.

Muzik yang harus adalah muzik yang berilmu – membawa kepada pemurnian hati sanubari insan. Muzik yang bersifat kejahilan – merangsang kegelisahan dan kecetekan hati hati nurani insan yang boleh membawa kepada kekaburan  kemuliaan insan adalah dilarang. Seni kata juga sewajarnya membawa mesej kea rah akhlak mulia dan tidak melanggar batasan akidah Islam. Lagu-lagu cinta yang memuja perasaan cinta berlebih-lebihan misalnya dan terkandung kesesatan nafsu adalah haram. Sebaliknya, lagu-lagu sedemikian boleh menjadi kebaikan sekiranya senikata lagu menjurus ke arah pujian terhadap wanita yang baik akhlaknya dan beragama serta mulia. Namun begitu, pujian atau  sanjungan itu bukan ditujukan kepada wanita tetapi kepada nilai-nilai agama yang mulia  yang terpapar pada wanita tersebut. 

-THiJARI-

Keteguhan Iman Berlantaikan Amanah




Dalam kehidupan manusia tidak akan lari daripada kitaran amanah yang dipertanggungjawabkan. Perkerjaan, kekuasaan, pengetahuan, pangkat, anak dan bumi kita berpijak merupakan sebahagian daripada jalur hidup yang berteraskan amanah. Amanah yang harus kita tunaikan dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya. Hukum menunaikan amanah adalah wajib dan mengkhianatnya adalah haram.

Sesungguhnya amanah merupakan tiang  dan dasar bagi setiap amal baik dalam  setiap urusan di antara kita dan Allah SWT,  antara kita dan keluarga atau masyarakat. Hanya orang yang teguh imannya kepada Allah akan menjaga amanah.

Dalam kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, jilid 3 halaman 154, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Tiadalah iman itu sempurna bagi orang yang sama sekali tidak ada kepercayaan baginya. Dan tiada agama itu sempurna bagi orang yang sama sekali tidak menepati janjinya”

Masyarakat yang diselubungi dengan amalan rasuah dan nepotisme adalah yang tidak mahu mempedulikan amanah. Banyak pengkhianatan dan penipuan, rasuah sudah bermaharajarela di tengah-tengah masyarakat; tidak sedikit kesaksian pembohongan dilakukan oleh sesetengah pihak dan tidak sedikit pula orang menunda-nunda menyampaikan hak kepada yang sepatutnya. Semua ini adalah menyimpang daripada amanah, bahkan termasuk juga khianat.

Demikian juga hari ini dalam memilih pemimpin atau ketua agak sulit memilih yang terbaik. Rasulullah SAW memberi erti amanah dalam kepemimpinan adalah kemampuan atau keahlian dalam jawatan yang dipangku, bukan ukuran kekayaan semata-mata.

Kita boleh menetapkan pertimbangan dalam memilih pemimpin tetapi ingatlah selalu sabda nabi SAW yang bermaksud :

“Siapa yang mengangkat seseorang untuk jabatan yang berkitan dengan urusan masyarakat sedangkan dia mengetahui ada yang lebih, maka seseugguhnya ia telah mengkhianati Allah, Rasul dan kaum Muslim”

Semua berkaitan dengan kuasa. Kerana itu kekuasaan adalah amanah yang lebih penting untuk diawasi kerana kekuasaan itu cenderung untuk curang. Kekuasaan yang mutlak akan menjadi curang yang mutlak.

Maka dalam agama kita tidak diizinkan adanya kekuasaan yang mutlak. Seperti firman Allah kepada Musa AS yang bermaksud :

“Pergilah Musa Kepada Firaun itu, sesungguhnya ia telah melampaui batas.” Surah TAHA: 24

Maka Kekuasaan tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan. Pengawasan itu dilakukan oleh masyarakat. Semua ini terletak dalam rangka penegakan keadilan.

Dalam Al-Quran di ingatkan bahawa salah satu bentuk menyalahguna kuasa ialah melindungi tindakan-tindakan yang salah. Wujud penyalahgunaan kuasa tidak saja berupa tindakan salah daripada seorang penguasa secara langsung, tetapi juga berupa langkah melindungi kesalahan orang lain memalui penyalahgunaan kuasa.

Pada umumnya sesuatu hak tidak sampai kepada orang yang berhak memilikinya, kecuali setelah melalui kesulitan yang amat berat, atau setelah dipotong sebahagian hak itu dengan tanpa ada alasanya.

Dalam situasi begini, dimanakah yang dinamakan ‘takut’ kepada Allah? Dimanakah letaknya waspada diri terhadap Allah Maha Mengetahui, yang ghaib dan yang nyata? Allah berfirman bermaksud :

“… dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak. Mereka datang bergegas-gegas memenuhi panggilan dengan mengangkat kepalanya sedang mata tidak berkelip-kelip dan hati mereka kosong.”

(surah Ibrahim : 42-43)

Janganlah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang disifatkan oleh Allah dengan firmanNya yang bermaksud:

“Biarlah mereka (di dunia ini makan dan bersenang-senang dan lalaikan oleh angan-angan (kosong), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka).”

(surah Al-Hijr: 3)